Islam galak jaga penampilan diri
Umat ditegah amal kecantikan guna perantaraan jin, syaitan
ADA tiga golongan manusia di muka bumi
ini mengamalkan perhiasan tubuh dan salah satu daripadanya keterlaluan
berbelanja sehingga membawa kepada pembaziran serta kemudaratan.
Selain itu, ada juga yang terlalu
kedekut sehingga mereka kelihatan kotor dan selekeh. Manakala golongan
ketiga ialah yang bersederhana dalam memperagakan kecantikan tubuh badan
mengikut kemampuan.
Nabi SAW ialah hamba Allah SWT yang
sentiasa menjaga kebersihan, kecantikan dan penampilan apabila berada di
depan khalayak. Ini dikuatkan oleh riwayat daripada Abdullah ibn Masud,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga golongan
yang di hatinya ada sebesar zarah kesombongan. Lalu seorang lelaki
berkata kepada Baginda: Sesungguhnya orang lelaki suka berhias pada
pakaian dan seliparnya. Baginda menjawab: Sesungguhnya Allah SWT itu
cantik dan amat suka kepada kecantikan. Sesungguhnya sifat angkuh punca
seseorang itu tidak boleh menerima kebenaran dan memandang rendah pada
orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam Islam, mencantikkan tubuh badan
menggunakan pelbagai kaedah kecantikan diharuskan. Ia seperti kaedah
yang dipegang ulama iaitu asal bagi setiap sesuatu itu adalah harus
sehingga terdapat dalil yang mengharamkannya.
Antara fuqaha mazhab yang menerima
kaedah fiqah ini sebagai salah satu prinsip wasatiy dalam penentuan
hukum makanan dan kepenggunaan semasa ialah mazhab Shafie, sebahagian
fuqaha mazhab Hanafi seperti al-Karkhi, sebahagian fuqaha mazhab Maliki
dan Hanbali.
Tetapi, jika kaedah rawatan kecantikan
yang digunakan itu ada dalil mengharamkannya, maka kaedah berkenaan
ditolak dan dilarang sama sekali digunakan. Perlu diingatkan segala
anggota tubuh manusia adalah amanah daripada Allah SWT kepada mereka.
Oleh sebab itu, Islam menggalakkan
umatnya menjaga anggota badan sebaiknya sebagai tanda syukur kepada
Allah SWT yang Maha Pemberi Nikmat. Islam melarang keras mereka yang
cuba menjahanamkan anugerah Ilahi dengan cara yang tidak menepati
kehendak syariat.
Atas sebab itu, Islam menolak
sekeras-kerasnya sifat segelintir manusia yang berlebihan menghiasi
tubuh badan sehingga membawa kepada mengubah ciptaan Allah SWT. Ada
menghabiskan ribuan ringgit untuk kelihatan muda, cantik bahkan sanggup
memilih untuk memudaratkan diri hanya kerana ingin kelihatan cantik.
Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya
berpendapat, setiap perkara ingin dilakukan umat Islam mestilah tidak
mendatangkan kemudaratan sama ada dalam urusan makanan, minuman,
kepenggunaan semasa, permainan, urusan kewangan dan sebagainya.
Jika perbuatan itu mendatangkan
kemudaratan kepada pengguna sama ada dari aspek agama, nyawa, akal,
nasab dan harta, maka hukumnya haram. Contohnya, memasukkan susuk (jin)
dalam tubuh dan muka, menyuntik botox yang diharamkan oleh majlis fatwa
kebangsaan dan antarabangsa.
Islam menganggap perbuatan mengubah
ciptaan Allah SWT tanpa sebarang sebab syar’ie adalah haram dan berdosa.
Selain itu, ia salah satu strategi syaitan untuk menyesatkan umat
Islam.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong (mereka), sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternakan), lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah SWT. (Ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah SWT, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang lagi nyata.” (Surah al-Nisa’, ayat 119)
Fuqaha menggariskan beberapa syarat
bertepatan kehendak syariat Islam dalam menghiasi tubuh badan supaya
kelihatan cantik dan menawan antaranya dilakukan dengan niat dan tujuan
yang betul dengan tidak melakukan sebarang perubahan di tubuh.
Dilakukan apabila ia menjadi satu
keperluan seperti membuang ketumbuhan pada muka atau di bahagian badan
yang mencacatkan rupa paras seseorang. Tidak mendatangkan sebarang
kemudaratan kepada pelaku sama ada untuk jangka masa pendek atau
panjang.
Sebarang pembedahan kosmetik atau usaha
mengubah tubuh badan tidak dilakukan tanpa sebarang sebab kesihatan
seperti suntikan botox pada bahagian muka dan tubuh badan semata-mata
untuk kelihatan cantik dan bergaya.
Dalam keadaan tertentu seperti wanita
atau lelaki yang memiliki bulu kening terlalu lebat hingga mencacatkan
pandangan orang kepadanya, Imam Malik berkata, perbuatan mencukur bulu
kening itu diharuskan jika sudah hampir sama dengan bulu alis beruk yang
tebal dan hodoh.
Di samping itu, ulama juga mengharuskan
wanita mencukur atau mencabut segala jenis bulu yang tumbuh pada tempat
tidak sepatutnya di tubuh atau wajah mereka seperti bulu misai, bulu
janggut, bulu dada dan bulu kaki.
Namun, ada juga ulama dan sahabat
mengharamkan perbuatan itu dalam semua keadaan antaranya Mu’wiyyah ibn
Abi Sufiyan, Aisyah, Asma’ Abu Bakr, Imam al-Bukhari, al-Khattab dan
ramai lagi kerana perasaan teruja kepada kecantikan menyebabkan
seseorang itu sanggup melakukan syirik kepada Allah SWT.
Contohnya, memakai susuk jin sama ada
berbentuk perak dan emas, menggunakan perkhidmatan bomoh, jin dan
syaitan dengan mengamalkan mantera tertentu ditegah oleh Islam kerana
boleh merosakkan akidah.
Islam menginginkan umatnya mengamalkan
sikap sederhana termasuklah dalam persoalan mencantikkan tubuh badan.
Oleh sebab itu, kita diharuskan yang dibenarkan syarak tanpa mengubah
ciptaan Allah SWT
P/S : It just a copy paste okay :)
0 comments: